Friday, September 25, 2009

Selamat Hari Raya.

Ustaz Shahrul Rizal sebagai penasihat kepada pengerakan Rakan al Husna ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf zahir dan batin kepada semua anak-anak murid Ustaz Shahrul Rizal, tetamu – tetamu blog ini dan seluruh muslimin dan muslimat, jika ada terkasar bahasa, terasa hati dengan perbuatan beliau atau apa sahaja yang terasa dihati.
Jadikanlah hari raya ini sebagai titik permulaan kepada suatu hubungan yang baru yang akan menjernihkan segala silaturrahim yang akan merapatkan saf perjuangan kita untuk mengembalikan kegemilangan Islam sama seperti di Madinah dibawah pemerintahan Rasulullah dahulu.

Selamat Hari Raya….

Ziarah


Pada hari Ahad, bersamaan malam ke 24 Ramadhan. Anak-anak murid Ustaz Shahrul Rizal dari GMI ( Germa Malaysia Institute ) telah datang datang untuk menziarahi Ustaz Shahrul Rizal sekaligus ingin mengkhatamkan kitab Daf’u syibhut Tasyhbih karangan al Fadhil al allamah Ibnu Jauzi rahimahullah. Malangnya Ustaz Shahrul Rizal tidak berkesempatan untk berada sepanjang minggu depan kerana menjadi pemeriksa lisan bahasa arab STPM.
Tetapi, Ustaz Shahrul Rizal berbesar hati mengijazahkan mereka dengan ijazah silsilah zahabiyah tariqah syaziliyyah Darqawiyyah kepada mereka. Mereka juga turut diikram dengan pengijazahan sanad musalsal bilawwaliyah dhiyafah bitamar.
Selepas pengijazahan, Ustaz Shahrul Rizal telah berkhutbah agar mereka sentiasa di atas sunnah Rasulullah dalam setiap tindakan, perlakuan, kata-kata, khatir dan nafas. Selepas itu Ustaz Shahrul Rizal juga berpesan kepada semua anak murid supaya sentiasa mentaati Allah dan Rasulnya dalam setiap perkara.


Walaupun mereka tidak bersama Ustaz Shahrul Rizal, mereka telah dibawa oleh al Mukarram akh Adnin Naim untuk berziarah disekitar Kota Tinggi. Bermula dengan menziarahi Muzium Kota Tinggi kemudian ke Maqam dan kota tauhid, Maqam Tun Habab, Maqam Sultan Mahmud Mangkat dijulang, jeti johor lama, dan maqam Laksaman Bentan.
Mereka kembali pulang pada hari Rabu. Terima kasih kepada semua anak-anak murid yang telah ihtiram dan ikram kepada seluruh tetamu yang hadir mengziarahi Ustaz Shahrul Rizal. Marilah kita kembali kepada suasana Madinah di zaman ulung Islam dahulu.

Program Qiyamulail


Bersempena dengan kedatangan awakhir ramadhan khususnya kelebihan lailatul qadar, pihak Rakan al Husna telah menganjurkan program qiyamulail yang berlangsung pada malam 21 dan 23 Ramadhan. Ramai yang hadir pada malam itu. Dengan berpakaian serba putih telah menyebabkan malam itu dengan penuh keberkatan.

Malam 21 Ramadahan.

Selesai bersolat Isyak dan Tarawikh di Masjid Tenggaroh 5, ahli Rakan al Husna telah berkumpul di rauhah. Dengan bauan gaharu yang memenuhi ruang, majlis telah dimulakan dengan Bacaan Ummul Kitab, istighfar, tahlil, zikir nama Allah dan asma Allah yang lain. Kemudian diikuti dengan bacaan selawat Nur al zati sebanyak 500 kali. Majlis diteruskan dengan zikir dan munajat. Majlis telah disambut baik dan ramai yang mampu untuk menitiskan iar mata keinsafan.
Selesai berzikir, majlis diteruskan dengan tadarus al Quran. Maka berderumlah bunyi al Quran ditartilkan. Hampir sejam tadarus selesai, majlis diteruskan dengan kuliah tafsir yang disampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal. Majlis malam itu diselesaikan dengan bacaan selawat dan doa. Bacaan niat juga dibaca untuk meneruskan amalan puasa esok hari.
Pada pukul 1.30 pagi, solat sunat tarawikh di sambung lagi. Dibuat secara berjamaah sebanyak 8 rakaat. Selesai sahaja, amalan sunat yang lain diteruskan secara individu. Ada yang membaca al Quran, ada yang bersolat sunat, tasbih, tahajud, hajat, istikharah, taubat dan muthlaq. Ada juga yang menambah bilangan zikir masing-masing
Pukul 3 pagi, solat sunat tarawikh secara berjemaah di sambung semula sebanyak 4 rakaat. Selepas itu, ibadah nawafil disambung semula , sehingga pukul 4.30 pagi barulah semuah jemaah husna beransur meninggalkan Rauhah .

Malam 23 Ramadhan

Majlis qiyamulail bermula pada pukul 9.30 malam. Kelewatan itu disebabkan oleh ustaz Shahrul Rizal baru balik dari Johor Bahru. Namun ia telah dimulakan dengan lancar. Seperti biasa majlis dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab, istighfar yang panjang, tahlil, asma ul husna dan selawat Nur al Zatie. Kali ini ustaz tidak meneruskan dengan munajat, kerana ingin memberi peluang kepada jemaah untuk tidur awal dan bersedia untuk berqiyamulail.
Majlis diteruskan dengan solat sunat tarawikh secara berjemaah tepat pada pukul 1.10 pagi, sebanyak 8 rakaat. Kemudian jemaah meneruskan dengan ibadah nawafi yang dilakukan secara sendirian. Solat tarawikh yang seterusnya disambung pada pukul 3 pagi sebanyak 4 rakaat. Ibadah masih berterusan sehingga kira-kira 4.30 pagi. Barulah jemaah mula meninggalkan rauhah untuk bersiap bersahur.
Ibadah pada tahun ini amat memberangsangkan. Kenikmatannya memang amat terasa. Majlis berjalan lancar dan baik sekali. Semoga ibadah semua jemaah husna diterima oleh Allah dan segala hajat dan doa dimakbulkan oleh Allah.
Ramadhan Kareem.

Khatam al Quran


Pada 18 september 2009, Rakan Husna menganjurkan majlis khatam al Quran. Majlis ini adalah berkesinambungan dari majlis yang berlangsung semalamnya di dewan SMK Tan Sri Abdul Kadir. Tetapi khatam kali ini adalah khusus untuk ahli-ahli Rakan al Husna.
Majlis bermula selepas solat isyak dan tarawikh. Lebih kurang pukul 9.30 malam. Selepas habis membaca juzuk amma, bermula dengan Surah al Dhuha dan diakhiri dengan surah al Nas, Ustaz Shahrul Rizal telah menyambung dengan tazkirah. Tazkirah sekitar perihal kepentingan al Quran dan arah tuju al Quran dengan diri kita selepas Ramadhan.
Majlis diakhiri dengan selawat dan bacaan doa. Jamuan ringan disediakan. Semoga ahli Rakan al Husna dapat sentiasa berdamping dengan al Quran.

Aktiviti sepanjang Ramadhan


1. Sepanjang Ramadhan, Rakan Husna menganjurkan Program Tadarus al Quran. Program dijalankan di Rauhatul Qulub, rumah Ustaz Shahrul Rizal bin Mohd Sati. Peserta program dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan diberi satu juzuk untuk dibaca. Selesai bertadarus, Ustaz Shahrul Rizal meneruskan dengan pengajian tajwid dan tafsir al Quran. Ustaz Shahrul Rizal akan memilih beberapa ayat daripada juzuk yang dibaca dan menafsirkannya. Kemudian diakhiri dengan bacaan selawat dan bacaan niat puasa untuk esok.
2. Solat tarawikh diadakan di Rauhah. Solat dibuat sebanyak 8 rakaat dan 3 rakaat solat witir. Selepas solat, zikir dan wazifah dilaksanakan.

3. Malam seribu berkah. Menyambut peristiwa –peristiwa besar disepanjang Ramadhan iaitu Nuzul al quran, Lailatul Qadar dan Badar Kubro. Program ini dilaksanakan Surau al Husna. Majlis berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Tujuan program untuk menambah semangat dan motivasi untuk menambahbaik amalan di akhir Ramadhan.
4. Khatam al quran Rakan al Husna. Dilaksanakan pada hari Jumaat, bersamaan 18 september 2009. Program bermula selepas solat isyak dan terawikh.
5. Qiyamulail pada malam 21 dan 23 Ramadhan sempena malam Lailatul Qadar

Monday, September 7, 2009

Majlis Malam Seribu Berkah


Pada 5 September 2009 bersamaan 16 Ramadhan 1431H, Rakan al Husna telah menganjurkan Majlis Malam Seribu Berkah bersempena Nuzul al Quran, Lailatul Qadar dan Badar Kubro.
Pelajar-pelajar sudah mula sibuk bergotong royong menyediakan persiapan sejak pukul 10 pagi. Mereka membasuh surau, menyapu dan menghias dalaman surau. Mereka juga turut sibuk menyediakan air doa yang akan diedarkan pada majlis malam itu.

Majlis bermula pada pukul 8.18 malam dengan acara solat isyak berjemaah. Kemudian diikuti dengan solat sunat tarawikh. Selepas itu, majlis diteruskan dengan pembacaan maulid Dhiya’ul Lami’ karangan Habib Omar al Iydrus. Bacaan rawi diselangseli dengan bacaan qasidah. Antara qasidah yang dialunkan ialah Annabiy Sollu Alaih dan Ma lana Siwallahu.
Tausiyah Badar Kubro telah disampaikan oleh al fadhil En. Aminuddin, pakar sejarah STAR. Beliau telah menceritakan tentang kronologi kejadian peperangan Badar. Sejak penurunan al Quran sampai kepada peperangan Uhud. Perang Badar berlaku pada tahun 2 hijrah. Berlaku dikawasan yang bernama Badar. Tentera Islam seramai 313 dan tentera musuh sebanyak 1000 orang. Tentera Islam telah dibantu oleh malaikat. Tapi cerita cikgu Amin ni, memang best. Di samping itu diselitkan dengan unsur-unsur kecindan. Kemudian dikuti dengan bacaan qasidah.

Tazkirah lailatul qadar pula telah disampaikan oleh En Ahmad. Tazkirah cikgu Ahmad adalah satu percubaan yang baik, walaupun ia adalah ceramah yang pertama yang disampaikan oleh beliau. Beliau bermula dengan menerangkan dalil lailatul qadar. Kemudian beliau menjelaskan makna lailatul qadar yang terbahagi kepada 3 bahagian. Bagaimana untuk mendapatkannya. Ciri-ciri mengenal pasti lailatul qadar. Walaupun sekejap tetapi ia memberi banyak motivasi untuk mengejar mendapatkan lailatul qadar. Tazkirah diakhiri dengan bacaan qasidah.

Kemudian majlis diteruskan dengan tazkirah nuzul al Quran oleh Ustaz Shahrul Rizal. Beliau menjelaskan maksud sebenar dari peristiwa nuzul al Quran dan maksud surah al Alaq. Malah beliau juga turut menjelaskan, mengapa majlis itu diadakan. Beliau juga menasihati agar menambahbaik amalan puasa dan amalan-amalan yang lain.
Majlis diakhiri dengan jamuan yang diadakan dikantin sekolah. Selepas itu, pelajar-pelajar terus bergotong royong mengemas kembali surau al Husna. Program ini amat baik dan berkesan untuk menambahbaik kualiti ibadah berpuasa.