Tuesday, October 27, 2009

Program Haul Syaikh Habib Abdullah al Haddad.



Sambutan Majlis Haul Syaikh Habib Abdullah al Haddad diadakan pada hari sabtu, 24 Oktober 2009 di Masjid Baitul Aman. Bagi Rakan al Husna, sambutan kali ini amat bermakna kerana ia telah dihadiri oleh Syaikh Habib Ali bin Hasan al Bahar yang merupakan rakan seperguruan dengan Ustaz Shahrul Rizal. Bahkan beliau merupakan anak murid pertama Sayyid Hasan al Saqqaf.

Jaulah ke majlis ini telah disertai oleh 33 ahli Rakan al Husna dari Johor. Semua berkumpul dirumah Ustaz Shahrul Rizal. Jemaah dari Johor Bahru yang diketuai oleh Saudara Arif sudah sampai sejak 23/ 10 lagi. Rombongan bergerak pada pukul 12.30 tengah hari.




Perjalanan lancar sehingga di perhentian Pagoh. Didapati tayar van sudah mula botak dan sudah nampak dalamnya. Maka perjalanan terhenti seketika apabila proses tukar tayar dilaksanakan. Apabila selesai, perjalanan disambung semula, tetapi van terdapat beberapa masalah. Jadi pergerakan van mula perlahan. Perjalanan yang perlahan telah melambatkan perjalanan kami.
Kami singgah pula di perhentian Ayer keroh untuk makan, mandi, solat dan menukar baju. Apabila semuanya selesai, kami mula bergerak sekitar pukul 6.30 petang. Namun, van agak terlambat bergerak disebabkan oleh beberapa masalah.

Tetapi kami berkumpul semula diperhentian Seremban untuk memberi peluang kepada penumpang van untuk menukar pakaian dan sebagainya. Sekitar pukul 7.50, kami menyambung perjalanan semula.


Kami sampai di Masjid Baitul aman, pada jam 8.30 malam. Ketika itu, al Fadhil Syeikh Fuad sedang memberi ceramahnya. Beliau telah menceritakan tentang kelebihan dan peringatan Syaikh habib Abdullah al Haddad. Diantara perkara yang dititik beratkan ialah peringatan Syaikh Abdullah al Haddad mengenai adab-adab ahli suluk. Perkara adab ini sudah banyak tidak diambil berat lagi oleh ahli suluk walaupun mereka mendakwa sebagai pemegang kepada sesuatu aliran. Maka wujudlah pelbagai tindakan yang menyalahi suluk dan hilang keberkatan dalam beramal.

Kemudian majlis diserikan dengan nyanyian qasidah. Dengan habisnya qasidah maka berakhirlah majlis pada malam itu. Kemudian diteruskan dengan ibadah solat isyak secara berjemaah. Usai bersolat, jamuan makan malam disediakan oleh pihak penganjur.
Walaupun orang sedikit demi sedikit mula meninggalkan masjid, namun, Rakan Husna sempat dan berpeluang bersama Habib Ali bin Hasan al Bahar. Pertemuan itu diserikan dengan mengaku-alu kehadiran Sayyid Ali dengan dendangan qasidah oleh Saudara Arif. Kemudian Sayyid Ali menyampaikan tausiyahnya kepada seluruh anak murid Ustaz Shahrul dan Rakan Husna.

Perkara yang ditegaskan oleh Sayyid Ali dalam tausiyahnya ialah kepentingan mencari ilmu dan menjadi orang yang berilmu. Dengan dalil-dalil dan penerangan Sayyid telah menampakkan kehebatan Sayyid Ali dalam ilmu Allah. Apabila Sayyid Ali menghabiskan tausiyahnya, disambung dengan pembacaan qasidah Yarasullah ya Sanadi oleh saudara Arif.

Sekitar pukul 12 pagi, barulah majlis selesai. Rakan al Husna telah mengiringi Sayyid Ali untuk kembali ke tempat penginapan. Selepas itu rombongan telah bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Namun, kami terpisah disebabkan oleh roadblock besar-besaran telah diadakan disepanjang jalan ke Dataran Merdeka. Jadi, masing-masing telah membawa haluan masing-masing. Cuma kereta Ustaz dan van yang dipandu oleh Fadhil sahaja yang bersama. Seterusnya kami bercadang ke Putrajaya, tetapi disebabkan oleh salah faham maka sekali lagi kami terpisah. Van yang dipandu Arif telah menghantar Bro Azmi ke hospital dan terus kembali ke Seremban. Kereta Ustaz terus ke Seremban, van Fadhil ke kajang dan kembali ke seremban pada pukul 4 pagi. Sementara kereta bedol sudah sampai di seremban sejak pukul 1 lagi.
Kemudian kami berehat untuk program esok seterusnya.




25 Oktober 2009

Sesudah solat subuh, kami telah bersiap sedia untuk meneruskan program. Kami telah bersarapan dirumah Ustaz Shahrul Rizal. Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Taman Desa, lebih kurang pukul 8 pagi. Dalam perjalanan kami singgah ke susur keluar Bangi untuk mengambil Udit dan terus kami pergi ke Masjid Taman Desa. Kami tiba di Masjid Taman Desa lebih kurang pukul 9.30 pagi.
Kami sampai pada waktu itu, majlis telah pun bermula dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kamaruzaman, pensyarah UM dalam bidang akidah dan falsafah. Beliau telah menerangkan dengan jelas mengenai Ahli sunnah wal jamaah. Tentang sifat, ciri dan arah pemikiran ahli sunnah wal jamaah. Malah beliau juga mengingatkan bahawa tidak mungkin dengan jumlah penganut ahli sunnah wal jamaah dari asyairah itu adalah yang teramai jumlahnya boleh terdedah kepada penyelewengan. Kemudian majlis berehat sebentar. Sebelum majlis disambung semula, majlis diserikan lagi dengan persembahan qasidah oleh Rakan al Husna. Persembahan Rakan Husna telah menarik minat peserta yang ada di dalam majlis itu.

Kemudian majlis disambung semula dengan ceramah oleh al Fadhil Sayyid Ali bin Hasan al Bahar. Beliau telah membedah kitab Daf’u Syibtut Tasyhbih karangan Imam Ibnu Jauzi. Malah beliau telah menerang dengan terperinci dan jelas sekali mengenai nusus mutasyabihat dan bagaimana ahli sunnah beramal dengannya. Penjelasan beliau mengenai kumpulan dari jamaah muslimin yang menguna pakai makna zahir dari nusus mutasyabihat telah membuka mata peserta mengenai masalh yang sering dipertikaikan oleh golongan yang cuba merosakkan Islam.
Majlis disambung semula dengan penjelasan keterlibatan golongan wahabi dengan jenayah ekstrem. Bermula dengan penjelasan siapakah wahabi sehingga kesan negatif yang wujud dari kumpulan ini. Penjelasan ini telah disampaikan oleh al Fadhil Ustaz Zamihan al Ghari yang telah menarik minat para peserta mendengarnya. Banyak persoalan yang telah ditanya dalam soal sesi jawab. Malah banyak perkara yang telah dapat diterang dengan jelas tentang masalah yang berkaitan dengan akidah ini.

Majlis ini telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Persatuan Ulamak Malaysia Wilayah Persekutuan. Majlis selesai lebih kurang pukul 1.30 petang. Kami beredar lebih kurang pukul 2.00 petang.
Selepas itu, kami semua pergi ke Muzium Negara. Selepas itu kami ke Plaza Low yat dan lebih kurang pukul 6.30 petang, kami pulang ke Tenggaroh. Kami sampai di tenggaroh lebih kurang pukul 1 pagi.
Itulah serba sedikit, perjalanan kami dalam menjayakan aktiviti kali ini. Semoga orang terhibur.

No comments:

Post a Comment