Monday, October 12, 2009

Jaulah Marhaban Johor Bahru

Hari Ahad yang lalu, bersamaan pada 11 Oktober 2009, Rakan al Husna telah memulakan Jaulah Marhaban mereka ke Johor Bahru. Pada awal rancangan al husna ialah akan memulakan perjalanan seawal 6 pagi dan akan menghadiri Majlis Ratib dan asmaul Husna dibawah kendalian Habib Husein al Attas. Kemudian akan ke rumah haji Majid. Selepas itu ke rumah al fadhil Ustaz Shahrol Fadli dan al Fadhil Ustaz Zakuan. Namun perancangan itu terpaksa ditunda dan diubah kerana terdapat beberapa masalah yang mendatang.
Namun, program itu dapat dilaksanakan seawal pukul 12 tengah hari. Jemaah Rakan al Husna bertolak dari Tenggaroh pada pukul 12 tengah hari dan sampai di rumah al Fadhil Ustaz Shahrol di Taman Setia Indah, Johor Jaya, pada pukul 1.30 petang. Namun majlis bermula pada pukul 2 petang. Majlis dimulakan dengan bacaan marhaban dan sebuah lagu raya versi Rakan al Husna. Kemudian diakhiri dengan doa oleh Ustaz Shahrul Rizal. Usai sahaja, jamuan raya disediakan. Menu yang disediakan ialah nasi ayam yang sedap sekali. Tazkirah disampaikan oleh al Fadhil Ustaz Shahrol yang memperingatkan dua perkara iaitu :
1. Sentiasa bersama syeikh. Belajar dengan syeikh selalu sebelum syeikh tiada.
2. Beramal dengan ilmu yang dipelajari.
Kemudian majlis diakhiri dengan bacaan doa yang dibaca oleh al fadhil Ustaz Shahrol. Selepas bersalam-salaman, jemaah rakan al husna berangkat menuju ke rumah al Fadhil Ustaz Zakuan.
Sekitar pukul 3 petang, rakan al husna telah sampai di rumah Ustaz Zakuan al Mukarram di Taman Sri Skudai, Johor Bahru. Majlis dimulakan dengan bacaan marhaban dan lagu khas raya versi Rakan al Husna. Ucapan dan tazkirah disampaikan oleh Ustaz Zakuan selepas bermarhaban. Beliau mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf jika ada tersalah dan tersilap. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Rakan al Husna kerana telah banyak melaksanakan program. Beliau juga memuji ahli-ahli rakan husna yang berjaya melaksanakan sunnah Rasulullah dalam amalan seharian. Beliau juga menegaskan agar sentiasa beristiqamah dalam perjuangan dalam menegakkan Islam. Ucapan seterusnya diucapkan oleh Ustaz Shahrul Rizal bin Mohd Sati. Beliau hanya memohon maaf bagi pihak rakan al husna dan mengucapkan selamat hari raya.
Acara seterusnya ialah jamuan makan. Menu yang disediakan ialah mee bandung yang enak. Selepas jamuan, majlis diakhiri dengan doa yang dibaca oleh al fadhil Ustaz Zakuan dan bersalam-salaman. Majlis berakhir sekitar pukul 4.30 petang. Turut hadir dalam majlis itu ialah al fadhil al alim Ustaz Khudzari, mantan Pengetua Maahad Johor.
Rakan al Husna kembali ke Tenggaroh apabila program selesai.

No comments:

Post a Comment