Thursday, October 1, 2009

Penjanaan Ilmu Melalui Sistem Madrasah


Pengenalan
Karya-karya ulama seperti Syeikh Daud al Fathanie, Syeikh Ahmad al Fathanie, Syeikh Abdul Samad al Falimbanie, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjarie dan lain-lain yang amat terkenal di dalam pelbagai bidang ilmu yang berpegang kepada Mazhab Feqh Syafieyyah dan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah pegangan yang mantap dan jazam dari aliran Imam Abu Hasan al Aysha’rie dan Imam Abu Mansur al Maturidie dan pegangan ulama tasawuf yang muktabarah adalah menjadi tunggak kepada penyelidikan dan penerbitan Khazanah Ulama Alam Melayu.
Sejarah Penulisan
Sejarah penulisan Islam yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama dunia melayu adalah serentak dengan kedatangan Islam diranyau ini akan tetapi sehingga kini tidak dapat dikenal pasti siapakah pelaku pertama dalam penulisan yang berasal dari dunia Melayu ini. Sepuluh peringkat penulisan ulama atau tokoh Islam dunia Melayu bermula dari sebuah manuskrip berjudul Bahr al Lahut karya Syeikh Abdullah Arif, tahun penulisannya adalah jauh sebelum tahun 1177M.
Peringkat kedua bermula pada abad ke 15 – 16 M dan judul karya yang dapat dikesan ialah Sisa-sisa Berguna yang membicarakan ilmu perubatan dan Tarikh Fathani dalam bahasa arab membicarakan sejarah beberapa kerajaan Melayu bermula dari Kerajaan Langkasuka karya Syeikh Shafiyuddin al Abbasi al Fathanie.
Pada peringkat ketiga dari abad ke 16-17M telah dijumpai manuskrip karya ulamak-ulamak Patani, Kedah dan Aceh iaitu Syeikh Faqih Ali bin wan Muhammad al Abbasi al Fathanie berjudul Tarikh Patani dalam bahasa Melayu, Syeikh Faqih Wan Musa al Fathanie dalam ilmu mantiq dan ilmu sarof, Ahmad bin Aminuddin al Qad-hi dalam ilmu tauhid, Syeikh Hamzah al Fansurie dan Syeikh Samsuddin al Samutraie kedua-duanya membahaskan ilmu Tasawwuf yang mendalam ( tasawwuf ketuhanan ). Syeikh Nuruddin al Raniri pula dianggap tokoh ulamak yang mula-mula menulis ilmu fiqh dalam bahasa Melayu berjudul al Shirat al Mustaqim.
Peringkat keempat abad 17-18M, dua orang ulamak yang berasal dari Acheh yang menonjol ialah Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al Asyi dan anak beliau sendiri Syeikh Muhammad Zain Acheh, karya beliau yang tersebar berjudul Hidayat al A’wam. Karya ulamak Patani yang ditemui berjudul Tanbih al Ghafilin oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Mubin al Fathanie Syeikh Syihabuddin al Haji bin Abdullah al Jawi dengan kitab berjudul Syarah Aqidah al Iman.
Peringkat yang kelima ialah penulisan ulamak terkenal seperti Syeikh Abdul samad al Falimbanie, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjarie dan Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al Banjarie.
Peringkat keenam seorang tokoh ulamak yang sangat produktif ialah Syeikh Daud bin Abdullah al Fathanie dengan keseluruhan karya beliau sebanyak 101 judul muncul sebagai penulis kitab tauhid, fiqh dan tasawwuf Mazhab al Syafie yang lengkap melengkapi segala permasalahan yang berlaku di alam melayu.
Manakala zaman ketujuh telah bermula dari Mesir, Turki dan seterusnya di Makkah adalah era pentashihan kitab Melayu / Jawi yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathanie maka terjadilah penambahan istilah-istilah baru yang jumlahnya sangatlah banyak dan kaedah penyelarasan dan penyeragaman ilmu keIslaman dan percetakan kitab-kitab Melayu / Jawi yang dikarang oleh Ulamak Asia Tenggara.
Peringkat kelapan pada tahun 1906M dimulai dengan keterlibatan ulama / tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikiran dalam penulisan majalah-majalah dan risalah agama Islam seperti Syeikh Muhammad al kalali, Syeikh Tahir Jalaluddin al Minkabawi dan Tok Kenali.
Penulis peringkat sembilan pada abad ke 20-21M tradisi penulisan mengalami perubahan besar disebabkan berbagai-bagai masalah,terutama sekali selain menggunakan tulisan Melayu / Jawi / digunakan juga tulisan Rumi / Latin. Tokoh-tokoh ulamak yang menghasilkan karya-karya mereka terdiri dari Prof Hamka, Prof Dr M Hasbi al Siddiqi, Haji Abu Bakar Aceh dan ramai lagi.
Peringkat kesepuluh adalah merupakan kerja-kerja yang telah didirikan oleh Khazanah Fathaniyyah melalui usaha Ustaz Wan mohd Saghir Abdullah yang berusaha mengumpul, menyelidik, mendokumentasi dan menerbitkan seluruh aktiviti ulamak dunia melayu dari peringkat pertama hingga ke peringkat sembilan. Kerja-kerja penulisan beliauyang pertama telah bermula sejak tahun 1390anH / 1970an M lagi lebih kurang 100 tahun selepas kebangkitan perjuangan datuknya Syeikh Ahmad al Fathanie. Hasil kajian telah dan akan disebarkan kepada seluruh dunia Melayu dalam berbagai corak mulai dengan keklasikan dan keasliannya sehingga kepada perkembangan moden dunia Melayu sekarang ini.
Jika dinilai usaha ulama terdahulu dengan serba serbi kekurangan, khususnya prasarana dan alatan yang lain, namun mereka telah mencorakkan dunia penulisan kita dengan garapan ilmu yang cukup cemerlang setanding dengan ulamak –ulamak luar negara seperti Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al Fathanie. Berbanding dengan ulamak hari ini tentu jauh jika disorot dari sudut kualiti dan kuantitinya. Namun, penulisan ulamak terdahulu menjadi mahsyur dan barisan ulamak hari ini yang ulung dalam bidang keilmuannya adalah berpunca dari pengajian kitab-kitab tersebut di madrasah-madrasah, pondok-pondok mahupun universiti-universiti.
Oleh kerana itu, proses pengajaran tersebut mestilah diteruskan lewat pengajian bersanad seperti yang diamalkan oleh para pendahulu yang soleh-soleh. Usaha tersebut cuba digarap oleh para pendidik dan penuntut di Madrasah Islamiyyah Hasaniyyah. Jika membina generasi ulung melalui pemantapan ilmu berdasar pengajian tersebut adalah satu tuntutan maka segala usaha memungkinkan terbinanya juga adalah satu kewajipan.
Jesteru itu, sudah pasti ianya adalah kewajipan kita semua untuk merealisasinya. Bantulahlah apa sahaja yang termampu untuk mendirikan al Madrasah al Islamiyyah al Hasaniyyah.

1 comment:

  1. salam..blh saya tau di mana terletakkanya khazanah fathaniyyah?

    ReplyDelete