Monday, October 19, 2009

Program Perkhemahan Qiadah Rakan al Husna peringkat daerah Mersing, tahun 2007.

Program yang julung-julung kali yang dilaksanakan sepenuh oleh kumpulan Rakan al Husna berlangsung pada hari jumaat bersamaan 6.7.2007. Seramai 50 peserta telah menyertai program ini. Mereka semua ialah pelajar-pelajar seluruh daerah mersing. Setiap sekolah telah menghantar seramai 4 orang wakil sekolah masing-masing. Pelajar tersebut ialah pelajar tingkatan 4.

Dalam daerah mersing. ,mempunyai sebanyak 10 buah sekolah menengah. So, nak handle program memang senanglah sikit, sebab tak ramai. Program ini sebenarnya adalah anjuran bersama rakan al Husna dan PPD daerah Mersing. Yang paling banyak membantu ialah Ustaz Wan Nazri bin Wan Mohamed. Seorang pegawai yang berkarisma dan berdedikasi dalam pengurusan. Kecenderungannya pada urusan dakwah yang menyebabkan tercetusnya anjuran bersama ini. Kalau orang lain, sudah tentu agak susah sikit, kerana selalunya orang akan berkarenah dalam urusan birokrasi ini.


Hari Pertama

Hari pertama program ialah pada 6.7.2007. hari Jumaat, jadi lambatlah nak mula. Masing-masing masih sibuk dengan urusan jumaat. Pendaftaran berlangsung di kantin SMK Tan Sri Abdul Kadir. Dari pukul 2.00 hingga 2.30 petang. Tapi terlajak jugak, kerana menunggu para peserta yang datang dari jauh. Kira-kira pukul 3.30 barulah pelajar kesemuanya berkumpul. Taklimat perkhemahan telah disampaikan oleh saudara Faisal bin Punirin ( pelajar Tingkatan 6 SMK Tenggaroh A ). Selepas taklimat. Program diteruskan dengan pemasangan khemah. Tapak-tapak perkhemahan telah disusun mengikut kumpulan yang telah disesuaikan. Penyediaan tapak telah disempurnakan oleh ajk Rakan al Husna. Peserta hanya perlu memasang khemah dan membuat persediaan sahaja dari sudut kekemasan dan gajet perkhemahan.

Selain itu, peserta juga turut dikehendaki mencari kayu untuk memasak. Buat pengetahuan semua, peserta dikehendaki menyediakan masakan sendiri. Masakan tidak disediakan. Ini bertujuan untuk para peserta merasa kesusahan dalam menyediakan makanan, lantas terkenang akan budi baik ibu yang sentiasa memasakkan makanan untuk mereka dan bapa yang bersusah payah mencari rezeki buat mereka. Kesemua kesusahan itu akan berbaloi dengan terhidangnya makanan. Ini bertindak peserta untuk berusaha mendapatkan yang terbaik.

Pada pukul 4 petang, acara dimulakan denga slot yang pertama iaitu penerangan ringkas mengenai pertubuhan Rakan al Husna, yang disampaikan oleh al fadhil Ustaz Shahrul Rizal. Talimat penerangan Rakan al Husna tidaklah mengambil masa yang panjang dan diteruskan dengan penyempurnaan solat asar secara berjemaah dan diikuti dengan pembacaan Hizib al Bahar. Al Fadhil Ustaz Shahrul Rizal berbesar hati menyampaikan ijazah Hizib al Bahar kepada semua peserta untuk diamalkan. Seterusnya, para peserta minum petang.

Program diteruskan dengan slot yang kedua iaitu penyediaan kertas kerja dan surat menyurat. Slot ini telah disampaikan oleh guru pakar bahasa melayu SMK Tan Sri Abdul Kadir iaitu En Sulaiman bin Mohamed. Pembentangan tajuk hanya memakan masa 30 minit sahaja dan selebihnya berbentuk bengkel dan peserta membentangkan hasil perbengkelan. Program tersebut berakhir pada pukul 6.30 petang.

Kemudian pelajar bersiap sedia dengan masakan dan ada yang berjemaah maghrib di surau al Husna. Program ini melatih para peserta untuk merasai diri setiap orang berfungsi untuk setiap jemaahnya sendiri. Maka masing-masing membentuk akhlak dan disiplin daripada jadual yang dibentuk hasil kesepakatan dalam jemaah atau kumpulan.
Selepas solat maghrib berjemaah, program diteruskan dengan pembacaan ratib al Haddad. Kuliah maghrib telah disampaikan oleh al Fadhil Ustaz Romizamrul bin Kamarjaman dengan tajuk “Gejala sosial dan masalah remaja “. Selepas tazkirah, al fadhil ustaz terus mengimamkan solat isyak secara berjemaah.
Pada pukul 9.05 malam, para peserta sudah berada di dalam dewan untuk acara seterusnya iaitu, slot yang ketiga yang disampaikan oleh al fadhil Ustaz Solahuddin dengan tajuk : Dakwah dan peranan Rakan al Husna.

Seterusnya diikuti dengan slot yang keempat dengan tajuk: sifat-sifat daie dan teknik berdakwah. Tazkirah itu disampaikan oleh al Fadhil Ustaz Zamri. Kuliah habis pukul 11 malam. Sebelum peserta minum malam dan tidur, peserta dikehendaki membaca Hizb Imam al Nawawi. Malam itu juga, Ustaz Shahrul Rizal mengijazahkan kepada peserta sanad hizib tersebut. Kemudian perserta tidur di dalam khemah masing-masing.


Hari kedua

Pada pukul 4.30 pagi, para peserta sudah dikejutkan untuk berqiyamulail dan diteruskan dengan solat subuh berjemaah. Selepas solat, peserta membaca Ratib al attas dengan kendalian Ustaz Shahrul Rizal. Ustaz Shahrul Rizal memberi ijazah kepada para peserta Ratin al Attas untuk diamalkan. Kuliah subuh selepas itu juga telah disampaikan oleh al fadhil Ustaz Shahrul Rizal dengan tajuk persediaan seorang daie. Sekitar pukul 7 pagi para peserta kembali ke khemah masing-masing dan bersedia menyediakan sarapan pagi. Tugas sarapan pada pagi kali ini ialah menyediakan roti lilit.

Pada pukul 7.30 pagi, peserta sudah bersiap di padang untuk riadah pagi. Dalam riadah kali ini, para peserta diuji dengan minda dan tenaga. Mereka diuji dengan permain berkayu dua, merangkak, meniti titian dan tarik tali. Kemudian mereka dibenarkan untuk khidmat diri untuk slot yang seterusnya.

Slot yang kelima dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan tajuk Perlaksanaan Majlis Maulid al rasul.Slot ke-5 dan ke 6 telah disampaikan oleh al fadhil Ustaz Shahrul Rizal. Selesai slot yang kelima disambung dengan slot yang ke-6 yang bertajuk Bengkel Maulid al daibaie.

Pukul 10.30 pagi para peserta menyiapkan kudapan dan berkudapan. Program musafir daie yang bertujuan untuk menguji ketahanan seorang daie menghadapi sebarang tribulasi yang bentuk fizikal dan mental. Mereka perlu melalui trek yang disediakan. Setiap kumpulan disediakan seorang penunjuk jalan bagi memudahkan mereka masuk ke dalam hutan. Para peserta terpaksa berhenti sebanyak 6 check point. Dan setiap check point dan diuji dalam pelbagai aspek termasuk mencari makanan mereka sendiri. Mereka terpaksa mencari makanan melalui arahan yang disediakan dan perlu memasak apa yang telah dibekalkan. Selain itu, disinilah mereka mengaplikasikan solat di dalam hutan. Pelbagai ilmu dibekalkan untuk para peserta termasuk aktiviti membuat jerat. Kesemua aktiviti mencabar dan menghiburkan.
Program musafir daie berakhir sekitar pukul 5 petang. Para peserta boleh khidmat diri dan menunaikan solat asar. Selepas itu mereka membaca Hizib al Bahar dan membuat persiapan untuk majlis pembukaan Kem Qiadah yang akan dirasmikan oleh encik Muntazar dan Ustaz wan Nazri. Kedua-duanya ialah pegawai di PPD.
Beberapa peserta dari setiap kumpulan pula telah diarahkan untuk menyediakan makan malam untuk kumpulan masing-masing. Tema masakan pada kali ini ialah oven tanah, yang mana peserta dikehendaki memasak bahan yang disediakan di dalam tanah. Apabila mereka selesai masak, masakan mereka dinilai oleh hakim. Apabila selesai dinilai mereka semua makan malam, mandi dan bersedia untuk menunggu waktu maghrib.
Solat maghrib mereka solat berjemaah dan selepas solat mereka membaca Ratib al Haddad. Kemudian bersedia untuk memulakan majlis yang telah dirancang.
Majlis perasmian dimulakan dengan ketibaan tetamu pada pukul 8.30 malam di Surau al Husna. Tetamu telah disambut dengan pembacaan selawat tholaal badru alaina. Majlis diteruskan dengan pembacaan maulid al Daibaie. Sesudah itu, ucapan pegawai PPD dan diselangselikan dengan bacaan qasidah. Majlis perasmian dan majlis al Rasul itu diakhiri dengan tausiyah Ustaz Shahrul Rizal dan bacaan doa oleh beliau sendiri.
Selesai dari majlis malam itu, tetamu semuanya dijamu dengan jamuan ringan. Menunya ialah air teh dan roti jala. Selepas tetamu beredar , peserta telah membuat aktiviti unggun api. Membuat persembahan dan bercerita. Selain dari menunjukkan bakat dan kepimpinan , mereka juga dapat berkongsi cerita mereka. Ini akan menghasilkan semangat muhibbah dan persaudaraan yang erat sekali. Program untuk malam itu dihabiskan awal untuk memberi laluan kepada peserta untuk berehat setelah melalui hari-hari yang meletihkan. Sekitar pukul 11 malam mereka jtelah berehat dan tidur.


Hari ketiga

Para peserta bangun seawal 5 pagi untuk persediaan solat subuh berjemaah. Selepas solat subauh mereka telah membaca Ratib al Attas dan diikuti dengan kuliah subuh yang disampaikan sendiri oleh Ustaz Shahrul Rizal dengan tajuk ‘ Futuwwah ‘. Kuliah subuh selesai pukul 7 pagi dan peserta dikehendaki membuat persediaan untuk sarapan pagi. Sekitar 7.30 para peserta beriadah pula.Untuk riadah kali ini, pihak penganjur telah mengadakan pertandingan kawat kaki antara kumpulan-kumpulan. Kawat kaki ini dinilai dari segi kawat statik dan kekreatifan dalam membuat pelbagai bentuk yang menarik sepanjang berkawat. Pertandingan itu selesai pada pukul 8.30 pagi dan diteruskan dengan acara dewan dengan slot yang disampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal yang bertajuk ulamak dan remaja.Pukul 9.30 pagi para peserta telah diarahkan untuk mengemaskan tapak khemah masing-masing. Kebersihan amat dititik beratkan dalam perkhemahan kali ini kerana tujuan perkhemahan kali ini bertujuan untuk melatih kepimpinan dalam dakwah. Maka sudah tentu kebersihan adalah asas utama.

Jesteru itu para peserta telah diajar dengan teknik mengawal kebersihan di tapak perkhemahan.
Selepas sesi pengemasan selesai, para peserta berkumpul di dewan, di mana sesi muhasabah dijalankan. Muhasabah dibuat dalam beberapa bentuk antaranya ialah :
1. Ustaz Shahrul Rizal menerangkan rasional setiap aktiviti yang dijalankan dan keputusannya kepada peserta. Adakah ianya mencapai objektif.
2. Para peserta mengisi borang muhasabah untuk urussetia dalam menguruskan aktiviti program.
3. Peserta diwakili oleh ketua kumpulan menyampaikan rasa hati mereka dan komen sepanjang perkhemahan dijalankan.
Hasil dari sesi tersebut didapati 90% peserta begitu teruja dengan aktiviti perkhemahan yang ekstrem . malah mereka betul-betul berharap agar Rakan al Husna dapat dikembangkan, supaya dakwah yang lebih komersial yang menambat hati mad’u khususnya para remaja dapat dikembalikan kepada ajaran islam yang sebenar.
Pukul 10.30 pagi, majlis penutup dijalankan di dewan sekolah. Majlis telah ditutup dengan jayanya oleh al Fadhil Ustaz Wan nazri bin Wan Mohamed dari PPD Mersing. Ustaz Wan Nazri mengungkapkan rasa kagumnya terhadap pengurusan Rakan al Husna yang mantap. Beliau berharap agar Rakan al Husna dapat berkembang lebih maju lagi. Penyampaian sijil dan hadiah-hadiah kecemerlangan para peserta juga dilaksanakan pada majlis tertutup tersebut. Selepas majlis tertutup ditutup dengan jayanya , para tetamu dan peserta dijamu dengan makanan berat untuk tengah hari tersebut.
Apa yang menarik dalam perkhemahan qiadah kali ini ialah :
1. Ia diuruskan sepenuhnya oleh Rakan al Husna.
2. Aktivitinya memang mengancam terutamanya musafir kelana yang memang mencabar.
3. Aktiviti raiadah juga tidak membosankan.
4. Tajuk-tajuk slot yang amat relevan dengan isu terkini dan remaja.
5. Hiburan Islam yang kena dengan jiwa remaja.
6. Majlis al Rasul diadakan.
7. Buletin perkhemahan dikeluarkan setiap hari.
8. Pengurusan yang mantap
Dan macam-macam lagi. Buat akhirnya Rakan al Husna ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pengurusan sekolah tan Sri Abdul Kadir yang sudi memberi sekolah untuk digunakan, Ustaz Wab Nazri dan seluruh warga PPD Mersing yang banyak memberi sumbangan, ahli-ahli rakan al Husna seterusnya yang terlibat secara khusus atau tidak dalam menjayakan perkhemahan kali ini. Semoga Allah memberkati kalian.
Majlis bersurai sepenuhnya sekitar pukul 2 petang. Majlis berjaya mencapai objektif dan selamat. Peserta gembira dan pengurusan program pun gembira. Terima Kasih semua.

No comments:

Post a Comment