Monday, November 9, 2009

Khemah Ibadah kaum ibu tahun 2009

Sekali lagi Rakan al Husna telah dipanggil untuk melaksanakan khemah ibadah di Surau Taman Senawang Jaya. Namun, inilah julung-julung kalinya diadakan khemah ibadah untuk kaum ibu. Sudah tiga tahun khemah ibadah anjuran surau taman senawang jaya yang telah disempurnakan oleh Rakan Husna hanya untuk remaja. Tetapi kali ini cukup berlainan kerana ianya hanya untuk kaum ibu.
Tema kali ini ialah keberadaan atau merasai kehadiran Allah dalam setiap amal khususnya ibadah solat yang dipanggil khusyuk. Oleh itu, tumpuan utama untuk khemah ini ialah ibadah sepenuhnya. Jika ada percampuran dengan bentuk bentuk keduniaan, maka ia akan merosakkan keberadaan bersama Allah.
Hari Pertama.
Kami bertolak awal. Lebih kurang pukul 10 pagi kami bertolak ke seremban. Untuk kali ini, kami mengikut jalan kluang kerana kami akan singgah sebentar di bandar melaka untuk membeli beberapa barangan perkusi. Sampai di r&r Machap kami berhenti untuk makan tengahhari. Makan tengahhari disediakan oleh bedol dan caca. Seperti biasa lauk yang disediakan ialah daging kambing masak merah dan ayam goreng. Kemudian kami meneruskan perjalanan kami.
Sampai di Melaka, kami terus menuju ke Dataran Pahlawan. Kami beli Jembe besar dan kecil. Tamborin dan alat perkusi yang lain. Jalan-jalan sikit dan kemudian kami meneruskan perjalanan. Apa yang menyusahkan kami di Melaka ialah parking kerata, kerana terlalu banyak kereta dan bas.Kami pun parking kat mana-mana tah.
Kami sampai awal. Oleh kerana itu kami pergi menziarahi maqam Syeikh Muhammad Said al Linggi. Seperti biasa kami bertahlil, membaca ayat suci al Quran dan berdoa untuk roh tuan guru kami. Kemudian kami ke Muzium negeri, Negeri Sembilan kerana masih ada ahli Rakan Husna yang belum sampai di sana. Kemudian kami kembali ke Surau Taman Senawang Jaya.
Kami sampai asar. Pendaftaran sudah bermula. Seramai 30 orang mendaftar menyertai program perkhemahan ibadah kaum ibu tahun 2009. Selesai mendaftar, sesi taklimat disampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal. Ustaz Shahrul Rizal menyampaikan peraturan yang perlu diikuti sepanjang perkhemahan. Kemudian Ustaz menerangkan tentatif program. Bacaan Hizb al Bahar diketuai oleh Ustaz Shahrul Rizal dan beliau berkenan mengijazahkan sanad hizib bahar untuk diamalkan. Kemudian para peserta makan malam.
Selepas solat maghrib berjemaah, program diteruskan dengan ceramah al Fadhil ustaz Shahran yang membahaskan tafsir al Quran. Selepas itu. Kuliah sampai isyak dan diikuti dengan solat isyak berjemaah. Selepas itu, program diteruskan dengan slot 1. Dalam slot 1 peserta diajar mulid Dhiya’ul lami’. Maulid itu telah dikarang oleh Habib Umar bin Hafiz al Iydrus. Seorang ulamak Yaman. Sebelum pengajian bacaan ratib al Haddad dan al Saqqaf dibaca. Tahlil sebanyak 1500 kali juga ditahlilkan. Slot 1 habis sekitar pukul 11 malam. Minum malam disediakan.


Hari Kedua
Hari kedua, kami bangun awal untuk qiyamulail sampai ke subuh. Selepas solat subuh berjemaah kami menghadiri kuliah subuh pula yang disampaikan oleh al Fadhil ustaz Abdul Rahman. Kuliah subuh itu ialah kuliah tasauf. Ustaz Abdul Rahman mengajar kitab siyarus salikin.
Program diteruskan dengan senaman pagi ( poco-poco ). Senaman pagi diuruskan sendiri oleh mak cik-makcik tu. Sebab agak keterlaluan untuk kami menguruskan program tersebut. Program tersebut diadakan di Balai Raya Taman Senawang jaya. Kemudian para peserta khidmat diri dan bersarapan.
Para peserta berkumpul di surau lebih kurang pukul 8 pagi. Sebelum slot 2 diteruskan, para peserta dikehendaki membaca Ratib al Attas dan zikir tahlil sebanyak 1000 kali. Dalam slot kedua, ceramah di sampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal yang bertajuk Khusyuk. Slot kedua berakhir pada pukul 10 pagi. Kemudian para peserta berkudapan.
Untuk makluman, segala makanan dan persiapannya disediakan oleh jemaah lelaki. Maka para peserta tidak dibebani dengan tanggung jawab untuk menyediakan makanan. Selesai berkudapan, para peserta masuk kembali ke dalam surau dan meneruskan slot yang ketiga. Slot ke 3 masih disampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal dengan tajuk : Kaifiat berzikir. Ustaz telah menceritakan bagaimana kaitan antara zikir dan rahsia khusyuk. Bermula pada pukul 10.30 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari.
Kemudian para peserta makan tengahhari dan khidmat diri untuk solat zuhur secara berjemaah. Solat zuhur pula dilaksanakan secara berjemaah dan selepas itu membaca hizib imam al Nawawi. Para peserta berkumpul kembali di surau pada pukul 2.30 petang. Slot yang ke empat ialah bengkel Marhaban. Para peserta diperkenalkan denganlagu-lagu marhaban yang evergreen dan yang hot. Agak menarik kerana para peserta didedahkan dengan pelbagai lagu yang belum peserta tahu.Tetapi peserta telah menunjukkan sifat yang positif kerana telah berjaya mengingati lagu yang diajar dengan baik sekali.
Slot yang ke-4 usai untuk solat asar, lebih kurang pada pukul 5.30 petang. Selepas solat asar secara berjemaah, para peserta membaca hizb al Bahar. Kemudian diikuti dengan program senaman sekali lagi. Habis sahaja senaman, para peserta bersiap sedia dan khidmat diri untuk solat maghbrib pula.
Solat maghrib didirikan dengan berjemaah dan selepas itu diadakan majlis tahlil. Diikuti pula dengan solat isyak berjemaah. Sebelum memulakan slot yang lain para peserta memulakannya dengan bacaan Ratib al haddad dan al Saqqaf. Tidak lupa juga dengan 1000 kali tahlil. Barulah slot yang kelima bermula. Slot yang ke-5 disampaikan oleh Ustaz Shahrul Rizal dengan dua tajuk, iaitu solat-solat sunat dan mengingati mati.
Program mengingati mati, adalah tidak menarik tidak dibuat dengan praktikalnya. Maka , Rakan al Husna telah membuat praktikal persediaan mengingati mati dengan peserta ditutup dengan kain batik lepas. Dipasangkan talqin dan dibacakan surah yasin untuk mewujudkan suasana kematian. Ia agak memberansangkan dan menaikkan motivasi para peserta untuk lebih insaf dan bertaubat. Selepas itu minum malam dan tidur.
Hari ketiga.
Pagi masih lagi dengan qiyamulail sampai ke subuh. Solat subuh berjemaah dan membaca ratib al attas. Tidak dilupakan ialah bacaan tahlil sebanyak seribu kali. Selepas itu para peserta berehat dan khidmat diri. Program Jalan-jalan dan fikir adalah program seterusnya. Program ini ialah gabungan beberapa program yang tersedia untuk para peserta. Antara matlamat slot jalan-jalan fikir ialah memberi ruang untuk para peserta berjalan kaki untuk memperkukuhkan kesihatan. Berjalan di waktu pagi boleh mengeluarkan peluh disamping ia adalah cukup segar bersama kesegaran pagi. Tetapi perjalanan tersebut tidak mengambil jarak yang jauh, hanya berjalan keliling kawasan tapak permainan kanak-kanak sahaja. Pusingan pertama hanya berjalan kosong sambil memerhatikan keindahan, dan pusingan kedua barulah setiap check point mengambil tempat masing-masing.
Setiap check point, para peserta dikehendaki untuk melaksana aktiviti yang terdapat dalam setiap check point. Antara ujiannya ialah jigsaw puzzle, fesyen dari surat khabar, lukisan dan gubahan hantaran. Kesemua ujian yang dilaksanakan mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Slot ini tamat sekitar pukul 9.30 pagi. Selepas itu proses penilaian diteruskan supaya kesan matlamat itu lebih hampir. Kemudian para peserta minum pagi dan khidmat diri.
Sekitar pukul 10.30 pagi, para peserta kembali berkumpul disurau untuk latihan penutup untuk majlis penutup itu nanti. Kemudian para peserta membuat persiapan dan kudapan. Majlis penutup bermula pada pukul 11 pagi. Majlis telah dirasmi tutup oleh pegawai agama bahagian perkahwinan dan kaunseling. Bermula dengan bacaan maulid Dhiya ul Lami’ oleh para peserta, kemudian ucapan penyutu oleh pegawai agama, Majlis agama islam Negeri Sembilan. Kemudian penyampaian sijil kepada peserta. Kemudian solat zuhur berjemaah dan makan tengah hari. Majlis pun bersurai. Begitulah serba sedikit maklumat sekitar perjalanan program perkhemahan ibadah kaum ibu.
Kemudian, kami pergi ke pedas untuk bermandi manda di kolam air panas di pedas. Selesai mandi manda kami pun pulang ke tenggaroh. Begitulah perjalanan Rakan al Husna untuk melaksana program khemah ibadah kaum ibu. Selain perkhemahan tersebut, program tersebut telah menjemput remaja untuk membuat latihan perkusi untuk qasidah. Keputusannya amat memberansangkan. Remaja senawang dengan cepat dan mudah memainkan perkusi qasidah. Tahniah buat semua. Jumpa lagi tahun hadapan untuk program khemah ibadah kaum ibu.

No comments:

Post a Comment